BACHOK: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan mengaktifkan Op Carilamat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan ombak semasa melakukan aktiviti memukat di Pantai Telong, di sini semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kelantan Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata berdasarkan aduan yang diterima pada pukul 8.20 malam, mangsa Mohamad Azwan Mohd Azman, 28 dipercayai ditarik ombak semasa memukat bersama dua rakan dan empat orang kanak-kanak.

"Berikutan aduan berkenaan, Maritime Rescue Coordination Centre (MRSC) Kuantan terus mengaktifkan Op Carilamat pada pukul 8.45 malam dengan menggerakkan Bot Perkasa 32 ke lokasi bagi membantu pencarian serta menubuhkan pangkalan hadapan carilamat di pesisir Pantai Telong.

"Mangsa yang berasal dari Labok, Machang itu kali terakhir dilihat memakai baju serta seluar berwarna hitam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairun Dalilah berkata Op Carilamat berkenaan turut disertai orang awam dalam membantu pencarian mangsa di sekitar pesisir pantai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Operasi Mencari dan Menyelamat dibuka pada pukul 10 malam tadi dengan melibatkan seramai 31 pegawai dan anggota termasuk APMM, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Siasatan polis mendapati, mangsa bersama enam orang yang lain (saudara) turun ke laut untuk memukat ikan menggunakan pukat tarik.

"Keadaan ombak yang kuat menyebabkan mangsa hanyut dibawa arus dan dipercayai lemas semasa hendak mengambil pukat yang tenggelam," katanya.

Beliau bekata usaha mencari dan mengesan mangsa sedang dipergiatkan dengan melibatkan beberapa jabatan kerajaan dan penduduk setempat.

-- BERNAMA